Florist

Sunday, 14 April 2013

fikir itu pelita hidup

Asslamualaikum ,hari ni eqin nk share coretan dan wasiat moyang eqin kepada generasi dia yang akan datang,dan sekarang eqin dah generasi yabg ke empat.Coretan ni dah lama benar,nama moyang eqin Taat Bin Puasa.ahaa nama orang lama biasalah tu kan.Jomlah baca semoga jadi panduan jalan hidup kita semua.haha eqin x ubah pun cara penulisan menggunakan bahasa lama tau.let's go through <3

                                                        RENUNGAN SEJENAK

“FIKIR ITU PELITA HIDUP”. Wahai anak ku !. Berfikirlah dahulu sebelum melakukan apa – apa pekerjaan. Kerana dengan fikir pekerjaan akan beroleh kesempurnaan dan elok pula kesudahan. Oleh itu gunakanlah akal dan fikiran yang sempurna apabila melakukan tindakan dan keputusan. Berdoalah kepada Allah supaya dikurniakan fikiran yang baik , sentiasalah berfikir untuk melakukan kebaikan.
Wahai anak ku !. disini aku tuliskan sedikit nasihat untuk mu supaya menjadi panduan dalam menjalani penghidupan di dunia dan di akhirat. Renungkanlah,,, dan fikirkanlah…

1          Jangan tinggalkan sembahyang, kerana sembahyang itu adalah tiang agama.

2          Jangan menyangka agama islam menegah belajar segala bahasa dan segala ilmu, tetapi ilmu agama di dahulukan atau berserta.

3          Memuliakan agama sendiri dan bahasa sendiri, belajarlah bahasa lain, ambillah tahu agama lain tetapi jangan agama sendiri terlepas atau menyehaja di campakkan.

4          Jangan menyangka agama islam menegah daripada berusaha dan berikhtiar meninggikan taraf hidup dimana agama adalah kesejahtaraan di dunia dan akhirat. Rintislah jalan berkaseh sayang dan berkasihan belas dan bertolong dengan barang yang di redai oleh segala rupa manusia dan undang – undang dunia dan akhirat dan jangan menyimpan perseteruan sesama manusia, tiada terlebih salah daripada manusia yang suka berseteru. Hukum agama islam mencegah berseteru walau dengan sesiapa pun daripada anak cucu Adam, berikut turut itu lebih sejahtera.

5          Jangan menyangka dan jangan ingat agama islam menegah daripada mencari kekayaan, kemuliaan, kesenangan dan kepujian. Tetapi ibadat yang fardhu serta ilmu agama dan syariat jangan di cuaikan dan jangan di permudahkan apatah lagi di hina atau di senda senda. Takutkanlah kadak Allah atau balak yang tidak dapat di ubat.

6          Jangan lupa agama islam menyuruh semuapakat, sehati, sekata, setuju dan ta’at kata pemerintah supaya terpelihara daripada bahaya. Agama jagat ( bekal di akhirat )

7          Dahulukan memberi salam apabila bertemu dengan saudara seagama, kerana salam itu adalah kesejahteraan di dunia dan di akhirat.

8          Jangan suka meniru orang punya permainan dan pakaian sahaja, tetapi elok di tiru perusahaan dan kepandaiannya.

9          Jangan sesiapa berfikir pada agama islam kaya tidak berguna atau bertegah. Bahkan di khendaki sangat kaya itu seperti…
            (1) kaya ilmu. (2) kaya harta. (3) kaya adab. (4) kaya budi bahasa. (5) kaya jasa. (6) kaya sahabat. (7) kaya murid. (8) kaya kepujian. (9) kaya kemuliaan (10) kaya perusahaan, perusahaan di dunia dan di akhirat.
10        Hidup yang menunggalkan diri itu tiada harga pada dunia dan akhirat.

11        Hidup yang tiada berilmu dan adab, mati terlebih ‘aula kepadanya.

12        Demikian juga hidup yang menyangka dirinya lebih dan semuanya orang orang lain itu kurang, itu menunjukan akal kurang. Tambahkan akal dengan bercampur ramai pada kumpulan ahli ilmu dan ahli perusahaan, bukan ahli permainan, kerana itu tempat membinasakan masa dan peluang.

13        Jangan membohongkan sesuatu sebelum siasat, meninggalkan siasat itu bodoh.

14        Jangan menuduh seseorang itu jahat sebelum zahir kejahatannya.

15        Jangan di tuduh seseorang itu salah sebelum di periksa dengan adil.

16        Jika hendak mengatakan salah sesuatu itu benar atau salah , mesti di periksa keduanya. Jika tidak terjumlahlah kita kepada orang yang tiada berakal, bodoh, umpama menuduh agama “itu benar itu salah”. Mesti di periksa keduanya sehingga terang, nyata, jelas dan cukup faham. Tentang kita orang islam ini tidak ada kurang dalil yang menunjukkan benarnya. Dari itu janganlah kita yang islam ini hendak mengatakan agama islam silap. Hendaklah ada pengetahuan kita padanya, diamalkan dan jangan buta kayu, jangan jahil, kita mesti tahu cukup di dalam agama kita sendiri.

17        Bagaimana kita boleh berkata agama islam itu tidak betul?. Atau tidak bagus ?. padahal kita belum tahu sesuku bahagian daripadanya ?

18        Jangan kita fakir dan jangan menyangka ulamak ulamak itu bodoh seperti kita.

19        Jangan kita fikir yang kita ini orang yang bijak atau cerdik. Padahal kita tidak menghormatkan agama kita sendiri. Dan kita tidak malu membantah hukum – hukum dan titah perintah Allah S.W.T. Seperti  judi yang dilarang kita buat. Sembahyang serta belajar agama yang di suruh kita tidak kerjakan. Permainan dansing, permainan rungging, minum arak dan zina, sesetengah daripada kita ada membuatnya. Bukankan itu menzalimkan diri namanya ?. Adakah dikatakan berakal orang yang menzalimkan dirinya sendiri?. Akal yang bijak itu wahai anak ku !.... dirinya di jaga dan di pelihara daripada jatuh maruah dan binasa.

20        Jangan menyangka dan jangan ingat agama islam menegah daripada bermain, juga tidak menyuruh kepada bermain. Ingatlah… jangan sampai perkara perkara yang haram mencicirkan perkara perkara yang fardhu.

                        WAHAI ANAK KU !......Gunakanlah akal dan fikiran yang sempurna lagi bijak !....Apabila melakukan tindakan dan keputusan ….letakkanlah kebesaran Allah di dalamnya. Bersikap adillah kamu sesama makhluk….jangan kamu bertindak zalim. Kerana zalim itu datangnya dari syaitan. Takutlah akan azab Allah S.W.T wahai anak ku!....walaupun makhluk tidak tahu dan tidak melihat apa yang kamu lakukan dan yang kamu fikirkan . tetapi….Allah maha mengetahui.
                       


             Oleh itu Ayuhai anak ku !.....perbanyakkanlah taubat kepada Allah S.W.T. mohonlah keampunan daripadanya kerana Allah S.W.T maha pengampun lagi teramat kaseh kepada orang yang bertaubat.
                        Anak ku!.....jauhilah diri mu daripada maksiat. Carilah rezeki yang halal lagi berkat. Buatlah kebaikan serta tambahkanlah ibadat. Kerana itulah modal di hari akhirat.
                        Doa ku untuk mu wahai anak!.....selamat mengharungi penghidupan….. Mudah mudahan selamat di dunia dan sejahtera di akhirat….Amin !.....Wassalam.

            Dari Wak mu…

Taat bin Puasa












            





2 comments:

  1. amboi eqin sampai kan ade wasiat tuk keluarga kau...hebat arwah moyang kau ni....

    ReplyDelete